Thursday, March 10, 2011

MENGUTIP MUTIARA ILMU

Gambaran kaabah, masjidil haram dan masjid nabawi masih terbayang2 lagi dalam ingatan minda. Setiap kali solat, pasti tergambar kaabah, terasa ada di depan mata. Ya Allah! Terasa rindunya akan rumahMU.

"Ya Allah, Tambahkan ilmu dalam daku, tingkatkanlah amal ibadahku dan dorongkanlah hati ini untuk melakukan kebaikan..."

Itu adalah secebis doa yang di pinta ketika munajat hamba di tanah suciMU.

Subhanallah...Maha Suci Allah...sesungguhnya di sana adalah tempat yang begitu mustajab doa setiap hambaNya. Sekembalinya ke tanah air terasa begitu takut sekali kalau2 ibadah di tanah suci berlalu begitu sahaja. Solat sunat, qiamullail, zikir dan lain2 ibadah sunat selama 40 hari di sana bagaikan tarbiyyah untuk hati dan jiwa ini. Ia bagaikan terapi yang sangat mustajab.

Alhamdulillah, balik dari mengerjakan haji, rasa ingin membaca begitu membuak-buak di dalam dada. Terlalu lama rasanya dada ini dibiarkan kosong tanpa pengisian ilmu. Lalu di awal tahun baru 2011, diri ini menanam azam untuk membaca sekurang2nya 1 buah buku dalam 1 bulan.

Syukur...setakat ini hampir 4 buah buku telah saya habiskan. Banyak ilmu yang dapat dimanfaatkan. Ilmu ini semakin kita 'makan' rasa semakin lapar dan semakin teringin.


Ini adalah buku pertama dihabiskan dalam masa 2 minggu. Suatu tengahari, pulang dari kelas, ada satu bungkusan di atas meja. Dibuka rupanya sebuah buku kiriman daripada sahabat lama yang sama posting ke PJB dulu. Tertera nama Kak Ja (Norliza Abdul Rahman), yang sekarang berkhidmat di Sekolah Menengah di Besut, Terengganu. Terima kasih banyak-banyak atas perkongsian ilmu di dalam buku ini. Melihat pada penulis buku ini, teringat sesi motivasi pagi yang disampaikan oleh beliau dalam Radio IKIM.fm. Intipati dari buku adalah berkisar tentang pengalaman penulis yang ditulis dan boleh dijadikan iktibar dalam hidup. Terdapat juga kisah yang begitu menyentuh hati dan perasaan hingga tak sedar air mata ini jatuh. Alhamdulillah buku ini banyak memberi manfaat. Walaupun tajuknya 'Nota Hati Seorang Lelaki', tetapi hati wanita akan tersentuh bila membacanya.
Antara kata2 beliau : "Aliran ilmu umpama aliran air yang sentiasa mengalir dari tempat yang tinggi ke tempat yang rendah. Lebih rendah suatu tempat itu, maka makin banyaklah air yang bertakung di tempat itu. Jesteru, lembah dan lurah sering bertukar menjadi tasik dan sungai. Maka, begitulah ilmu perlu 'ditakung' dengan hati yang rendah diri. Semakin tawaduk seorang itu, semakin banyak yang bakal dimmiliki dan diwarisinya."



Buku Travelog haji ini begitu menyentuh perasaan. Tak tau berapa banyak air mata yang mengalir untuk sampai ke muka surat terakhir. Betul la kata penulis, orang yang telah ke tanah suci akan lebih 'terasa' apabila membaca buku ini. Setiap bab yang dibaca terasa diri ini 'berada' dalam situasi yang diceritakan. Buku ini mengenai pengalaman penulis bersama isteri, adik dan kakak beliau mengerjakan haji. Bagi mereka yang pertama kali ke tanah suci memang bagus jadikan buku ini sebagai panduan. Sebelum kami berangkat ke tanah suci dulu, abang kandung ada mencadangkan buku ini untuk dibaca, oleh kerana kekangan masa, maka kami tidak berkesempatan untuk membacanya. Bila dah baca, terasa juga rugi tak membaca buku ini sebelum berangkat dulu. Tak mengapalah masa dah berlalu tak boleh nak dipusing semula.


Buku ini pula adalah promosi daripada K.Dina, jiran sepejabat. Buku TENTANG CINTA sesuai untuk semua golongan tak kira anak muda, mak orang, bapak orang, pendidik dan siapa saja. Memang BEST....... untuk mengenal erti CINTA agung dan erti cinta murahan. Kita akan mendapat cinta sejati jika CINTA agung disemat kemas di dada. Carilah CINTA agung (CINTA ALLAH) untuk kita mendapat cinta manusia. Jangan sia-siakan hidup kita dengan cinta murahan dari manusia. Rebutlah CINTA Allah untuk kebahgiaan dan kesejahteraan hidup dunia dan akhirat. Kata penulis : "Kita tak boleh mencintai orang lain sebelum mencintai diri-sendiri. Dan kita tak boleh mencintai diri sendiri sebelum mencintai Allah Taala."

Buku dalam proses untuk dihabiskan. Tinggal beberapa muka surat lagi. Dulu pernah terdengar promosi buku ini di dalam radio IKIM.fm. Sedang cari2 buku di kedai, terjumpa buku ini terus beli. Buku ini terdapat beberapa jilid. Buku ini menceritakan kisah penulis tentang alam rumahtangga, tanggungjawab terhadap pasangan, ibu bapa dan anak-anak. Boleh baca untuk memantapkan lagi ilmu rumah tangga yang telah sedia ada.

"Ya Allah, kekalkan aku dalam mencintai ilmu, bagilah kepada diri ini masa dan ruang untuk terus membaca dan mengutip mutiara ilmuMU. Amiin"