Macam biasa, pagi tadi dengar motivasi pagi di radio IKIM.fm bersama Ustaz M. Pahrol. Pagi tadi beliau bercerita satu kisah. Alkisahnya....
Terdapat seorang tukang kayu yang begitu dedikasi di dalam pekerjaannya menyatakan hasratnya kepada majikannya untuk bersara daripada kerja. Dia yang telah lama bekerja iaitu hampir 20 tahun, telah sampainya masanya untuk dia berehat dan pergi bercuti. Selepas menyatakan hasrat itu, majikannya berasa sangat sedih kerana dia seorang pekerja yang sangat rajin dan bagus. Kemudian majikannya meminta pekerjanya menyiapkan satu projek terakhir sebelum dia pergi bercuti dan bersara, iaitu membuat satu rumah.
Pekerja yang tadi begitu bersemangat untuk bercuti merasa berat hati menerima tugasan daripada majikannya. Namun, dia terima juga kerja itu dengan separuh hati kerana mengenangkan majikannya telah banyak berjasa kepadanya dan ia merupakan kawan baiknya. Dia akhirnya menyiapkan rumah tadi dengan ala kadar sahaja kerana hatinya sudah tidak berada di situ. Dia cuba menyiapkan rumah itu dengan cepat dan apabila telah siap, dia menyerahkan kunci kepada majikannya. Apa yang sedihnya, dia seorang pekerja yang sangat bagus dan cemerlang menyiapkan satu projek terakhir yang cincai. TETAPI....
"Tuan, ini kuci rumah yang telah siap", kata pekerja itu.
"Oh...tak apa, awak simpan sahaja kunci itu. Sebenarnya rumah itu adalah milik awak sebagai tanda penghargaan dan hadiah daripada saya setelah sekian lama awak bekerja dengan saya", kata majikannya.
Pekerja itu terkejut dan tercegang kerana tidak sangka rumah itu akan menjadi miliknya. Pekerja tadi merasa hampa dan sedih kerana rumah tadi dia buat dengan ala kadar sahaja, ukiran yang tidak cantik dan banyak kelemahan pada rumah tersebut. Jika dia tahu rumah itu adalah miliknya, tentu dia akan membuat yang terbaik dan tercantik. Tetapi sudah terlambat....
Moralnya daripada kisah di atas, dalam membuat pekerjaan, kita mestilah IKHLAS dan membuat yang terbaik. Timbulnya tidak ikhlas kerana kita merasakan kerja yang dilakukan untuk orang lain, bukan untuk diri-sendiri. Sama juga konsep ketaatan kita kepada Allah, segala ibadah yang kita lakukan sebenarnya manfaatnya akan kembali kepada diri kita juga. Manfaatnya kita dapat rasai dalam kehidupan seharian, hati yang tenang, kebahagiaan dan yang paling penting kejayaan di akhirat nanti. Tidak ikhlas menyebabkan kita membuat kerja dan ibadah dengan rasa terpaksa.
INGAT...Jika kita buat dengan terpaksa, kita akan rasa terseksa dan menderita.
No comments:
Post a Comment